Labels

Monday, August 5, 2013

Tendangan-tendangan kecil dari permataku...Part 1

Assalamualaikum.

Subhanallah..begitu besar kuasa Ilahi. Memang tidak dinafikan, sejak di sahkan mengandung, bermacam dugaan datang bertimpa-timpa. 

Suami mengalami masalah di tempat kerja. Dia di buang kerja kerana fitnah manusia yang iri hati. Gaji serta duit claim tak dapat. Kami ditimpa kesusahan kerana masalah kewangan.

Di awal kehamilan, aku mengalami pendarahan. Terpaksa dimasukkan ke wad bersalin HKL untuk dipantau. Tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja berat. Serta tidak lagi dibenarkan memandu.Suami terpaksa menghantar dan mengambilku pulang dari tempat kerja. 

Semasa menjalani pemeriksaan lanjut untuk kesan pendarahan, pakar o&g HKL mengesahkan anak-anak kami mengalami masalah transfusi kembar (TTTS). Saiz kedua-dua bayi tidak sama. Seorang tersangat kecil kerana kekurangan zat. Kes aku dirujuk kepada pakar o&g Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh. Pembedahan terpaksa dilakukan demi menyelamatkan anak-anak kami. Pengalaman pertama memasuki bilik bedah. Setelah selesai pembedahan, aku diberikan cuti sakit sampai bersalin. Kerana, menurut Dr Japaraj (doktor yang membedahku) walaupun pembedahan telah berjaya, namun kami masih ada risiko untuk kehilangan bayi-bayi kami. 

Aku mengambil keputusan untuk berehat di kampung supaya mama boleh menjaga makan-minumku sepanjang tempoh penyembuhan. Seminggu kemudian, aku mengalami masalah kebocoran air ketuban. Mama menghantarku ke Unit Kecemasan, Hospital Besar Kota Bharu. Aku ditahan di wad untuk di pantau.

Lebih kurang jam 530 pagi, aku di panggil ke bilik rawatan untuk di scan. Doktor kemudian mengesahkan bahawa salah seorang dari bayi kami telah meninggal. Ya, bayi kami yang saiznya jauh lebih kecil dari  kembarnya telah meninggal. Sewaktu mendengar penjelasan doktor, aku cuba bertenang. Namun, sekembalinya dari bilik rawatan, air mata mula menitis. Adikku, Fatihah yang menemaniku di hospital mula bertanya. 

Adik: Nape Na?
Aku: Baby dah xde. (sambil mengesat air mata)
Adik: Hah? Dua-dua ke?
Aku: Sorang je. Yang kecil. (dan aku terus menangis) 

Aku cuba untuk kuatkan semangat. Tidak mahu kelihatan lemah di hadapan adikku. Namun, bila teringatkan sarung kaki dan tangan sedondon yang telah kubelikan untuk kembarku ini, aku makin sedih. Sape nak pakai satu set lagi? 

Oleh kerana masalah kebocoran ketuban, aku masih di tahan di wad. Menurut doktor, ketuban yang bocor adalah daripada baby yang masih hidup. Ini bermaksud, baby yang masih hidup pun berada di ambang maut kerana kekurangan air ketuban. Dalam masa yang sama, aku dipantau untuk memastikan bahawa arwah tidak memberi jangkitan kuman baik kepadaku atau kembarnya. Sepanjang berada di hospital, aku dapat rasakan perhatian dan kasih sayang yang di berikan oleh suamiku, papa, mama, adik beradikku serta ahli keluarga yang lain. 

Hampir lima hari aku di tahan di hospital. Setelah tiada lagi air ketuban yang bocor aku dibenarkan pulang. Doktor berpesan, jika aku diserang demam panas, aku harus segera ke hospital dan kemungkinan besar, doktor akan mengeluarkan kedua-dua baby kerana dikhuatiri demam berpunca dari jangkitan kuman daripada baby yang telah meninggal. Peluang untuk janin berusia bawah 22 minggu untuk terus hidup adalah sangat tipis. Jadi, jika kedua-duanya dikeluarkan, mungkin baby yang masih hidup tidak akan mampu untuk teruskan hidup. 
Hanya Allah sahaja yang tahu akan perasaanku ketika itu. Sangat risau akan kehilangan kedua-dua anak kami. Ya Allah, sekurang-kurangnya, berilah aku peluang untuk melahirkan dan membesarkan baby yang masih hidup ini. 

Setelah hampir sebulan berehat di kampung, aku kembali ke Kuala Lumpur. Walaupun aku di berikan cuti sakit sehingga bersalin dan dinasihatkan supaya berehat di rumah, namun aku tetap pergi kerja. Ini kerana, jika aku terus cuti berehat, maka tiadalah sumber pendapatan kami. Aku harus terus bekerja untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. 

Bagi yang bekerja di syarikat swasta seperti aku, mereka akan memahami situasi ini. Walaupun diberikan cuti sakit oleh doktor pakar, tetap di kira sebagai mengambil cuti tanpa gaji. Selepas menolak baki cuti sakit pada tahun  tersebut. 

Kami akan ke Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh sekali sebulan untuk rawatan susulan dan pemantauan doktor. Ini adalah untuk memastikan bahawa baby yang masih hidup akan terus kuat dan boleh dilahirkan dengan selamat. Aku di beritahu tentang risiko yang mungkin di alami jika aku bersalin secara normal. Pembedahan adalah cara yang paling selamat unutk ibu dan baby. Maka, suami membuat keputusan, kami akan ikut nasihat doktor, aku akan bersalin secara pembedahan. Bila ditanya tentang jangka waktu aku bersalin, doktor menerangkan, untuk kes sepertiku, biasanya, akan besalin ketika kandungan berusia 34 hingga 36 minggu. Awal sebulan dari tarikh yang sepatutnya. Namun demikian, doktor akan menetapkan tarikh sebenar berdasarkan keputusan pemantauan bulananku. 

Kini, kandunganku berusia 28 minggu. Sejak minggu ke 26, aku mula dapat merasai pergerakan dan tendangan kecil dari baby dalam kandunganku ini. Subhanallah, indahnya perasaan ini. Tidak dapat ku gambarkan dengan kata-kata. Ia membuatkan aku semakin tidak sabar menanti kelahiran baby ini. Ku rasakan, setiap pengorbanan dan dugaan yang ku alami selama hamil adalah berbaloi. Hanya untuk permataku. 

Sekian. 


Thank you for reading this entry.