Tanggungjawab dan Hak Suami
Antara
tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah
yang bermaksud:
"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi
makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya." (Surah
al-Baqarah, ayat 233)
Sabda
Rasulullah S.A.W bermaksud:
"Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah
kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik."
(Hadis riwayat Muslim).
Suami juga
mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang
bermaksud:
"Dan bergaullah kamu dengan mereka
(isteri kamu) dengan cara yang baik." (Surah an-Nisa', ayat 19)
Tanggungjawab dan Hak Isteri
Isteri wajib
mentaati suami dalam perkara yang bukan maksiat.
Isteri juga
tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan
suami.
Sabda
Rasulullah S.A.W bermaksud:
"Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh
isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke
tempat tidurmu (memasuki rumahmu). (Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga
dengan maruah, setiap isteri mesti menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta
benda suami. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:
"Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan
sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Ia adalah isteri yang solehah;
apabila suami melihatnya, dia menggembirakan suaminya, apabila suami
menyuruhnya, dia taat, dan apabila suaminya tidak ada bersamanya, dia menjaga
dirinya dan harta benda suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Tanggungjawab Bapa Terhadap Anak
Islam juga
mewajibkan bapa secara khusus memberi nafkah kepada anak. Menjaga kebajikan
anak, termasuk menyediakan dalam kadar munasabah keperluan untuk hidup, belajar
dan kesihatan.
Begitu juga
anak wajib dididik supaya sentiasa beribadat dan berakhlak mulia. Tugas
mendidik berada di atas kedua ibu dan bapa. Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud:
"Didiklah anak kamu dengan tiga
perkara; cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi kamu dan membaca
al-Quran." (Hadis riwayat Dailami)
Apa yang
kami kemukakan hanyalah ringkasan dari hak dan tanggungjawab berkeluarga yang
lebih luas. Di harap agar pasangan yang memerlukan rujukan lanjut, dapat
merujuk buku-buku berkaitan untuk maklumat terperinci.
(sumber Artikel Iluvislam.com)
0 comments:
Post a Comment